Skip to main content

5 Persiapan Sebelum Kahwin Bagi Perempuan – No 2 Sangat Penting

“Saya akan berkahwin…” amat mudah dilafaz tetapi tidak semudah ABC untuk memahami makna sebuah perkahwinan. Anak-anak muda sekarang belum habis SPM sudah sibuk merancang nak kahwin. Oleh sebab itu, kahwin ni perlukan perancangan dan persiapan. Apabila sebut sahaja persiapan, orang akan bayangkan katering, khemah, “goodies”, baju, dan sebagainya yang kebanyakannya bersifat material sahaja. Bakal pengantin lelaki pula akan sibuk bekerja mencari duit hantaran. Ada yang 10,000, 15,000, dan tak kurang berpuluhan ribu. Semuanya bergantung pada kemampuan dan niat masing-masing.

Pada masa yang sama, pengantin perempuan juga perlu membuat persiapan sebelum kahwin. Antara persiapan yang perlu dilakukan sebelum kahwin bagi perempuan ialah menambah ilmu agama dan ilmu perkahwinan. Ilmu agama dan perkahwinan amat penting dan menjadi sumber kebahagiaan sebuah rumahtangga. Hal ini kerana kebahagiaan takkan mampu dicapai hanya bergantung pada cinta antara manusia semata-mata melainkan cinta itu disandarkan pada Allah swt.

Apa Persiapan Yang Penting – Tengok Tips Ini

#1 Bagi seorang wanita, anda boleh membaca buku-buku tentang wanita solehah, ibu mithali, dan sebagainya. Sebagai contoh buku Bercinta hingga ke Syurga tulisan Nik Raihan, Aku Terima Nikahnya oleh Ustaz Hasrizal dan Pedoman Mendidik Anak-anak dalam Islam hasil karangan Nasikh Ulwan. Selain itu, banyak juga ceramah-ceramah agama tentang ragam perkahwinan di You Tube seperti ceramah Ustazah Norhafizah Musa , Syamsul Debat, dan Ustaz Kazim. Hal ini bukan sahaja menambahkan ilmu pengetahuan tetapi juga membetulkan niat perkahwinan kita.

#2 Persiapan kedua iaitu mengambil tahu tentang tahap kesihatan diri dan tips-tips kesihatan diri. Ramai dalam kalangan wanita yang kurang mengambil tahu tentang kesihatan diri sendiri terutamanya tentang kesihatan reproduktif. Wanita perlu ambil tahu tentang kitaran haid dan waktu subur anda. Adakah normal atau sebaliknya? Sekiranya anda menghidap keputihan atau sebarang masalah, sebaiknya merujuk doktor lebih awal supaya anda tidak terlewat menyelesaikan masalah kesihatan diri sebelum menempuh suasana yang baru. Sebahagian wanita sudah mula mengambil folic acid beberapa bulan sebelum perkahwinan kerana keinginan untuk mempunyai anak dengan cepat. Folic Acid boleh membantu menguatkan rahim disamping memudahkan mengandung. Wanita juga boleh mengamalkan beberapa amalan tradisional untuk kesihatan dalaman seperti habbatussauda’, kurma, minyak kelapa dara, minyak zaitun, dan madu supaya kekal sihat dan awet muda walaupun sudah berumahtangga.

#3 Seterusnya, para wanita perlu peka dengan berat badan sendiri. Kadangkala, waktu hampir-hampir majlis perkahwinan, berat badan semakin naik. Hal ini akan menyebabkan berat badan tersebut akan terus menaik kerana kebiasaannya selepas perkahwinan, hormon antara lelaki dan perempuan akan berubah dan mengambil masa untuk serasi. Begitu juga dengan rutin harian seperti waktu dan kuantiti makanan berubah. Tidak hairan lah kalau ramai para isteri merungut kenaikan berat badan selepas berkahwin. Oleh sebab itu, wanita perlu kekal menjaga kecantikan diri dengan bersenam dan mengambil pemakanan yang seimbang. Suami anda mempunyai hak untuk melihat anda sentiasa kelihatan cantik dan menawan.

#4 Selain itu, para anak dara perlu belajar menguruskan diri sendiri seperti memasak, mengemas, membasuh baju, menjahit dan sebagainya. Sekurang-kurangnya anda mampu memikat perut suami anda. Pasti kasihnya hanya tertumpah untuk anda dan keluarga tersayang. Anda boleh belajar memasak makanan kegemaran bakal suami atau keluarga mentua. Lebih-lebih lagi yang berlainan budaya seperti yang berasal dari utara dan pantai timur. Menjahit pula, kalau pun tak pandai nak jahit baju kurung atau baju Melayu, sekurang-kurangnya pandai nak jahit baju yang terkoyak. Kemahiran-kemahiran ini amat penting supaya rumahtangga menjadi mudah dan terurus.

#5 Persiapan lain seperti membantu mencari sumber kewangan. Kebiasaanya orang perempuan berfikiran, tanggungjawab mencari duit untuk kahwin ini adalah tanggungjawab lelaki. Namun, pada hakikatnya perempuan boleh turut serta bersama-sama sekiranya berkemampuan. Sekurang-kurangnya boleh bantu meringankan beban ayahanda dan keluarga. Keadaan ekonomi yang serba kekurangan zaman ini, susah sekiranya orang perempuan terlalu berkira dan memanjakan diri. Maka, bantu lah bakal pasangan dan keluarga anda. Sesungguhnya saling memahami dan sanggup berkorban itu lah nilaian sebuah cinta sejati.

Semoga artikel ini bermanfaat bagi para pembaca. Akhir sekali jangan lupa untuk membuat solat hajat bagi kaum muslimin agar segalanya dipermudahkan dan mendapat keberkatan hingga ke syurga. Tips-tips ini bukan sahaja boleh diamalkan oleh kaum wanita yang sudah merancang mendirikan rumahtangga tetapi juga yang belum bertemu jodoh. Moga jika anda mempersiapkan diri anda, Tuhan akan hadirkan jejaka idaman buat anda.

Leave a Reply