Skip to main content

Persiapan Sebelum Nikah – 3 Tips Penting

Kalau sudah ada calon memang digalakkan untuk teruskan sahaja perkahwinan. Benda yang baik ini memang patut untuk diteruskan dan kalau boleh jangan dilambat-lambatkan. Khusus untuk anda, pada kali ini, kami ingin membawakan kepada anda persiapan sebelum nikah sama ada untuk lelaki dan perempuan. Ini penting untuk anda membawa bahtera perkahwinan anda sehingga ke akhir hayat.

Persiapan yang kami ingin nyatakan di sini tidak terhad kepada persiapan material sahaja, tetapi adalah berkisar juga kepada persiapan kerohanian dan apa yang anda perlu lakukan untuk sebuah perkahwinan yang membawa kepada kebahagiaan. Ini penting untuk anda terutama lelaki dalam membawa perkahwinan yang bahagia sehingga ke akhir hayat.

#1 Persiapan Mental – Mindset Anda

Penting untuk anda persiapkan mental anda agar perkahwinan ini kekal sehingga ke akhir hayat. Memang lumrah yang setiap orang ini mempunyai kelemahan dan kekurangan, dalam sebuah perkahwinan ini, memang anda akan nampak kekurangan pasangan anda dan terima sahaja. Cuba perbaiki perkahwinan anda dan hubungan sesama anda agar berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Lengkapkan diri dengan perkara-perkara penting seperti asas dalam agama, solat, ibadat, mengaji dan juga yang penting sekali bab nafkah anak dan juga isteri. Kalau anda tanya buku, saya sarankan anda cuba sebaik mungkin untuk menbaca buku ini, boleh dapatkan di link SINI.

Memang setiap masa anda kena fahami aspek mindset ini dan cuba improve diri setiap masa. Pada masa anda rasa yang anda sudah perfect dan tak perlu tahu lagi bab kerohanian ini, pada masa tersebut anda sudah silap dan memang kena teruskan dengan pembacaan ini.

#2 Persiapan Hantaran

Dah ready dari segi mindset, tiba masa untuk persiapan hantaran pula. Kalau nak ikutkan, hantaran ini tidaklah perlu memakan kos yang terlalu tinggi sebenarnya. Yang penting persefahaman antara suami dan isteri membolehkan hantaran ini dibincangkan lagi. Kalau ikutkan sekarang ini, memang kos kenaikan harga barang menyebabkan banyak barangan yang semakin lama semakin naik. Jadi, kalau dapat berjimat bab hantaran dan buat majlis yang simpe pun sudah sangat bermakna dan berbaloi.

Boleh baca artikel saya di sini berkenaan dengan bab hantaran yang simple. Kalau nak berjimat bab barangan hantaran pula, boleh tengok beberapa item di sini untuk lelaki. Untuk perempuan pula anda boleh lihat apa yang artikel ini boleh berikan kepada anda.

#3 Persiapan Majlis

Salah satu aspek yang sangat dititikberatkan dan memakan kos yang besar adalah majlis perkahwinan. Ianya memang memakan kos dan belanja yang besar untuk majlis perkahwinan anda. Cuba bayangkan kalau anda ambil pakej catering, sehingga RM10 untuk satu kepada dan anda menjemput sehingga 1000 tetamu, tentunya kos yang terlibat adalah RM10000. Ianya satu jumlah yang banyak, cukuplah majlis yang simple dan untuk doorgift pula, boleh dapatkan beberapa pilihan di artikel ini.

Ini adalah antara beberapa item penting checklist majlis perkahwinan, tidak perlukan pdf ataupun excel, yang ini sudahpun memadai. Untuk cara isi borang nikah dan dokumen yang berkaitan untuk nikah pula boleh rujuk kepada majlis agama yang terdekat. Ini adalah antara rujukan yang asas, tetapi kalau anda mempunyai bajet yang besar untuk majlis yang lebih gempak, tiada masalah. Cuma satu, kalau boleh elakkan daripada pembaziran. Artikel ini adalah lebih kepada cara untuk membuat majlis yang simple dan yang penting sekali adalah, ianya mendapat keberkatan.

5 Persiapan Sebelum Kahwin Bagi Perempuan – No 2 Sangat Penting

“Saya akan berkahwin…” amat mudah dilafaz tetapi tidak semudah ABC untuk memahami makna sebuah perkahwinan. Anak-anak muda sekarang belum habis SPM sudah sibuk merancang nak kahwin. Oleh sebab itu, kahwin ni perlukan perancangan dan persiapan. Apabila sebut sahaja persiapan, orang akan bayangkan katering, khemah, “goodies”, baju, dan sebagainya yang kebanyakannya bersifat material sahaja. Bakal pengantin lelaki pula akan sibuk bekerja mencari duit hantaran. Ada yang 10,000, 15,000, dan tak kurang berpuluhan ribu. Semuanya bergantung pada kemampuan dan niat masing-masing.

Pada masa yang sama, pengantin perempuan juga perlu membuat persiapan sebelum kahwin. Antara persiapan yang perlu dilakukan sebelum kahwin bagi perempuan ialah menambah ilmu agama dan ilmu perkahwinan. Ilmu agama dan perkahwinan amat penting dan menjadi sumber kebahagiaan sebuah rumahtangga. Hal ini kerana kebahagiaan takkan mampu dicapai hanya bergantung pada cinta antara manusia semata-mata melainkan cinta itu disandarkan pada Allah swt.

Apa Persiapan Yang Penting – Tengok Tips Ini

#1 Bagi seorang wanita, anda boleh membaca buku-buku tentang wanita solehah, ibu mithali, dan sebagainya. Sebagai contoh buku Bercinta hingga ke Syurga tulisan Nik Raihan, Aku Terima Nikahnya oleh Ustaz Hasrizal dan Pedoman Mendidik Anak-anak dalam Islam hasil karangan Nasikh Ulwan. Selain itu, banyak juga ceramah-ceramah agama tentang ragam perkahwinan di You Tube seperti ceramah Ustazah Norhafizah Musa , Syamsul Debat, dan Ustaz Kazim. Hal ini bukan sahaja menambahkan ilmu pengetahuan tetapi juga membetulkan niat perkahwinan kita.

#2 Persiapan kedua iaitu mengambil tahu tentang tahap kesihatan diri dan tips-tips kesihatan diri. Ramai dalam kalangan wanita yang kurang mengambil tahu tentang kesihatan diri sendiri terutamanya tentang kesihatan reproduktif. Wanita perlu ambil tahu tentang kitaran haid dan waktu subur anda. Adakah normal atau sebaliknya? Sekiranya anda menghidap keputihan atau sebarang masalah, sebaiknya merujuk doktor lebih awal supaya anda tidak terlewat menyelesaikan masalah kesihatan diri sebelum menempuh suasana yang baru. Sebahagian wanita sudah mula mengambil folic acid beberapa bulan sebelum perkahwinan kerana keinginan untuk mempunyai anak dengan cepat. Folic Acid boleh membantu menguatkan rahim disamping memudahkan mengandung. Wanita juga boleh mengamalkan beberapa amalan tradisional untuk kesihatan dalaman seperti habbatussauda’, kurma, minyak kelapa dara, minyak zaitun, dan madu supaya kekal sihat dan awet muda walaupun sudah berumahtangga.

#3 Seterusnya, para wanita perlu peka dengan berat badan sendiri. Kadangkala, waktu hampir-hampir majlis perkahwinan, berat badan semakin naik. Hal ini akan menyebabkan berat badan tersebut akan terus menaik kerana kebiasaannya selepas perkahwinan, hormon antara lelaki dan perempuan akan berubah dan mengambil masa untuk serasi. Begitu juga dengan rutin harian seperti waktu dan kuantiti makanan berubah. Tidak hairan lah kalau ramai para isteri merungut kenaikan berat badan selepas berkahwin. Oleh sebab itu, wanita perlu kekal menjaga kecantikan diri dengan bersenam dan mengambil pemakanan yang seimbang. Suami anda mempunyai hak untuk melihat anda sentiasa kelihatan cantik dan menawan.

#4 Selain itu, para anak dara perlu belajar menguruskan diri sendiri seperti memasak, mengemas, membasuh baju, menjahit dan sebagainya. Sekurang-kurangnya anda mampu memikat perut suami anda. Pasti kasihnya hanya tertumpah untuk anda dan keluarga tersayang. Anda boleh belajar memasak makanan kegemaran bakal suami atau keluarga mentua. Lebih-lebih lagi yang berlainan budaya seperti yang berasal dari utara dan pantai timur. Menjahit pula, kalau pun tak pandai nak jahit baju kurung atau baju Melayu, sekurang-kurangnya pandai nak jahit baju yang terkoyak. Kemahiran-kemahiran ini amat penting supaya rumahtangga menjadi mudah dan terurus.

#5 Persiapan lain seperti membantu mencari sumber kewangan. Kebiasaanya orang perempuan berfikiran, tanggungjawab mencari duit untuk kahwin ini adalah tanggungjawab lelaki. Namun, pada hakikatnya perempuan boleh turut serta bersama-sama sekiranya berkemampuan. Sekurang-kurangnya boleh bantu meringankan beban ayahanda dan keluarga. Keadaan ekonomi yang serba kekurangan zaman ini, susah sekiranya orang perempuan terlalu berkira dan memanjakan diri. Maka, bantu lah bakal pasangan dan keluarga anda. Sesungguhnya saling memahami dan sanggup berkorban itu lah nilaian sebuah cinta sejati.

Semoga artikel ini bermanfaat bagi para pembaca. Akhir sekali jangan lupa untuk membuat solat hajat bagi kaum muslimin agar segalanya dipermudahkan dan mendapat keberkatan hingga ke syurga. Tips-tips ini bukan sahaja boleh diamalkan oleh kaum wanita yang sudah merancang mendirikan rumahtangga tetapi juga yang belum bertemu jodoh. Moga jika anda mempersiapkan diri anda, Tuhan akan hadirkan jejaka idaman buat anda.